Rabu, 8 Jun 2022

2 Gagasan Yang Salah Mengenai Bahasa Roh


Oleh Si Domba Putih:

Ada orang yang mengatakan bahawa;

a) Semua bahasa roh adalah dalam bahasa yang boleh difahami

b) Bahasa roh adalah untuk tujuan menginjil

Biasanya akan disebut Kisah Para Rasul fasal 2 sebagai bukti kepada dua gagasan tersebut, apabila murid-murid Yesus dipenuhi Roh Kudus dan berbahasa roh yang difahami oleh orang-orang lain dalam bahasa-bahasa mereka sendiri. Akhirnya selepas Petrus berkhutbah, 3 ribu orang memberikan diri untuk dibaptis dalam nama Yesus.

Jadi kalau kita melihat sepintas lalu dari petikan itu, memang kelihatanlah bahawa semua bahasa roh adalah dalam bahasa yang difahami orang dan untuk tujuan menginjil.

Namun jika kita melihat dengan lebih teliti dalam petikan tersebut dan juga bahagian lain Alkitab, kita akan dapati bahawa dua gagasan itu sebenarnya tidak benar.

Bahasa Roh Hanya Dalam Bahasa Yang Difahami?

Yang pertamanya, saya ingin sebut bahawa bukan semua bahasa roh adalah bahasa yang difahami.

Dalam 1 Korintus 13:1, Paulus mengatakan, “Sekalipun aku dapat berkata-kata dengan semua bahasa manusia dan bahasa malaikat, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, aku sama dengan gong yang berkumandang dan canang yang berkerincing.”

Perhatikan Paulus sedang menyebut tentang kemungkinan dia berkata-kata dengan semua bahasa manusia dan bahasa malaikat. Menurut Google terdapat 7,100 bahasa yang dipertuturkan di dunia hari ini. Itu tak termasuk bahasa malaikat, sebab Google tak ada maklumat mengenai bahasa malaikat. Tak mungkin Paulus atau sesiapapun boleh berkata-kata dalam begitu banyak bahasa, paling-paling pun berbelas atau kalau hebat betul, berpuluh-puluh bahasa.

Paulus memberi andaian ini kerana dia tahu sewaktu dia berbahasa roh, dia mungkin boleh berkata-kata dalam pelbagai bahasa manusia dan bahasa malaikat walaupun dia tidak pernah pun mempelajari bahasa-bahasa itu. Dari ayat 1 Korintus 13 ini, kita boleh tahu bahawa bukan semua bahasa roh adalah dalam bahasa yang difahami, sebab adakah sesiapa yang memahami bahasa malaikat?

Tambahan lagi, dalam 1 Kor 14:2. Paulus mengatakan, “Siapa yang berkata-kata dengan bahasa roh tidak berkata-kata kepada manusia, tetapi kepada Allah. Sebab tidak ada seorangpun yang mengerti bahasanya, oleh Roh ia mengucapkan hal-hal yang rahsia.

Paulus mengatakan dalam ayat di atas, bahawa orang yang berbahasa roh itu berkata-kata kepada Allah, dan tidak ada seorangpun yang mengerti bahasanya. Jadi jelas di sini Paulus menyatakan ada bahasa roh yang tidak dimengerti oleh sesiapapun, ertinya bukan dalam bahasa yang difahami oleh manusia.

Kalau kita hanya merujuk kepada KPR fasal 2, kita akan mendapati bahasa roh di situ difahami oleh orang-orang lain, tetapi dalam ayat di 1 Korintus 13 dan 14 menunjukkan terdapat bahasa roh yang tidak difahami oleh sesiapapun.

Oleh itu kita tidak boleh merumuskan bahasa roh dari hanya satu peristiwa di KPR 2, tetapi harus melihat keseluruhan Firman Tuhan supaya mendapat rumusan yang menyeluruh dan benar mengenainya.

Dengan itu, kita boleh merumuskan bahasa roh bukan hanya dalam bahasa yang difahami manusia, tetapi juga dalam bahasa yang tidak diketahui manusia.

Bahasa Roh Tujuannya Untuk Menginjil?

Contoh dari KPR Fasal 2

Ada sebilangan orang yang dengan merujuk kepada KPR fasal 2, mengatakan bahawa bahasa roh adalah untuk tujuan menginjil. Fahaman mereka adalah Tuhan memberikan bahasa roh supaya kita dapat berbahasa lain yang boleh difahami oleh bangsa-bangsa lain, dan dengan itu dapat menginjili mereka. Umpamanya, saya tidak tahu bahasa Jerman, tetapi Tuhan memberi saya bahasa roh dalam bahasa Jerman sewaktu saya bertemu orang Jerman supaya saya dapat menginjilinya. 

Walaupun, saya tidak menolak kemungkinan Tuhan boleh melakukan seperti itu (sebab Tuhan boleh melakukan segala sesuatu) tetapi jika kita meneliti KPR 2, kita akan dapati bukan itu yang sebenarnya berlaku.

Kita lihat balik KPR fasal 2. Ketika murid-murid Yesus dipenuhi Roh Kudus. mereka mulai berbahasa roh. Dan sewaktu itu telah berkumpul ramai orang-orang Yahudi di Yerusalem dari pelbagai tempat dan negara. Orang-orang Yahudi itu menjadi hairan dan tercengang mendengar murid-murid Yesus mengatakan dalam bahasa-bahasa yang difahami mereka yang datang dari lain-lain tempat dan negara mengenai perbuatan-perbuatan besar yang dilakukan Allah. 

Dan di sini kita akan meneliti apakah respons mereka ketika mendengar bahasa roh daripada murid-murid Yesus. KPR 2:12 dan 13 menyatakan:

"Mereka semuanya tercengang-cengang dan sangat termangu-mangu sambil berkata seorang kepada yang lain: ”Apakah ertinya ini?” Tetapi orang lain menyindir: ”Mereka sedang mabuk oleh anggur manis.”

Terdapat 2 respons daripada para hadirin yang mendengar bahasa-bahasa roh itu:

a) mereka tercengang-cengang dan menanya satu dengan lain, "Apakah ertinya ini?"

b) mereka menyindir, "Mereka sedang mabuk oleh anggur manis." 

Kita dapat melihat daripada respons dua kumpulan ini bahawa ada sekumpulan yang tercengang-cengang dan tidak memahami apa yang sedang terjadi, dan sekumpulan lagi yang menyangka murid-murid itu mabuk. Jadi jelaslah sebenarnya Injil belum disampaikan kepada mereka, dan bahasa-bahasa roh itu bukan sebenarnya membawa mesej Injil kepada mereka.  

Kalau Injil telah sungguh-sungguh disampaikan melalui bahasa roh oleh murid-murid Yesus, mengapakah orang-orang Yahudi di situ masih tercengang dan menanya, "Apakah ertinya ini?" dan yang lain pula menyindir, "Mereka sedang mabuk." 

Apa yang terjadi sebenarnya ialah bahasa-bahasa roh itu menjadi Tanda kepada mereka, untuk menunjukkan penyertaan dan kuasa Tuhan kepada mereka sebagai persediaan untuk penyampaian Injil oleh Petrus. 

Kita membaca dalam KPR 2:14-37, Petrus kemudian bangkit dan mulai berkhutbah dan menyampaikan Injil mengenai penyaliban dan kebangkitan Yesus dari maut. Setelah mendengar pengkhabaran Injil oleh Petrus (dalam bahasa biasa, bukan dalam bahasa roh), orang ramai terharu dengan pemberitaan Injil dan kemudian memberikan diri mereka dibaptis. 

Oleh itu dalam KPR fasal 2 ini, bahasa roh bukan digunakan secara langsung untuk menginjil, tetapi merupakan tanda kepada orang ramai sebelum Petrus bangkit menyampaikan Injil. 

Saya ingin tunjukkan contoh lain dari KPR fasal 19.

Contoh dari KPR Fasal 19

Dalam petikan ini, Paulus telah bertemu 12 murid Yohanes Pembaptis di Efesus. Kita petik kisahnya dari KPR 19:4-5;

Kata Paulus: ”Baptisan Yohanes adalah pembaptisan orang yang telah bertaubat, dan ia berkata kepada orang banyak, bahwa mereka harus percaya kepada Dia yang datang kemudian dari padanya, yaitu Yesus.” Ketika mereka mendengar hal itu, mereka memberi diri mereka dibaptis dalam nama Tuhan Yesus.

Setelah Paulus menyampaikan Injil Yesus kepada pengikut-pengikut Yohanes, merekapun sudi dibaptis di dalam nama Yesus. Perhatikan apa yang terjadi seterusnya dalam ayat 6-7

Dan ketika Paulus menumpangkan tangan di atas mereka, turunlah Roh Kudus ke atas mereka, dan mulailah mereka berkata-kata dalam bahasa roh dan bernubuat. Jumlah mereka adalah kira-kira dua belas orang.

Apabila kita membaca petikan ini, kita akan dapati bahawa Paulus tumpang tangan dan berdoa untuk mereka SETELAH mereka telah dibaptis dalam nama Yesus. Dan sewaktu Paulus tumpang tangan atas mereka, mereka mulai berkata-kata daam bahasa roh.

Jelaslah dari petikan ini bahawa bahasa roh tidak digunakan sebagai alat penginjilan. Pengikut-pengikut itu sudahpun menerima Injil Yesus dan dibaptis dalam air. Selepas mereka dibaptis, barulah Paulus tumpang tangan ke atas mereka dan barulah mereka berbahasa roh. 

Ketika mereka mula berbahasa roh, mereka tidak menginjil kepada sesiapapun. Firman Tuhan katakan hanya ada 12 orang mereka di situ, dan mereka berbahasa roh. Tak ada sesiapa yang lain yang mendengar mereka berbahasa roh. Tiada sesiapa yang mereka injili dengan bahasa roh mereka.

Yang terjadi adalah mereka dipenuhi Roh Kudus ketika Paulus menumpang tangan ke atas mereka dan mereka mulai berbahasa roh.

Kesimpulan

Daripada contoh-contoh dan penelitian Firman Tuhan di atas, adalah jelas bahawa dua gagasan mengenai bahasa roh yang ditimbulkan oleh sebilangan orang adalah tidak benar.  Adalah tidak benar bahawa bahasa roh hanya berlaku dalam bahasa yang difahami. Bahasa roh wujud dalam bahasa yang diketahui mahupun dalam bahasa yang tidak diketahui. 

Adalah juga tidak benar bahawa bahasa roh telah diberikan untuk tujuan memberitakan Injil. Dalam KPR fasal 2, murid-murid Yesus di Yerusalem dipenuhi Roh Kudus dan mulai berbahasa roh. Mereka sedang berdoa dan memuliakan Tuhan dengan bahasa roh. Mereka bukan sedang menginjil dengan bahasa roh. Yang menginjil adalah Petrus yang bangkit di khalayak umum untuk menyampaikan perkhabaran Injil. 

Jadi apakah kegunaan bahasa roh? Itulah adalah topik lain yang dengan izin Tuhan, kita akan terokai bersama dalam artikel lain yang akan datang (klik di sini).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan