Khamis, 4 Jun 2020

Roti Atau Cinta - Yang Mana Lebih Penting?


Oleh Si Domba Putih:

Semasa saya masih bujang, seorang kawan menanya saya soalan ini:

Roti Atau Cinta - Yang Mana Lebih Penting?

Saya tergamam sekejap mendengar soalannya. Apa maksudnya roti dan cinta?

"Yang manakah lebih penting dalam perkahwinan," kata kawan saya yang juga masih bujang,  "Adakah wang (dilambangkan dengan roti) lebih penting atau cinta yang lebih penting?"

Kawan saya menjawab "Roti" kepada soalannya sendiri manakala saya pula menjawab "Cinta." 

Apa pandangan anda, yang mana lebih penting: Roti atau Cinta? 


Mungkin saya terpengaruh dengan cara pandangan saya sebagai Kristian iaitu Cinta atau Kasih adalah yang terutama. Bukankah Paulus telah mengatakan bahawa, "Demikianlah tinggal tiga hal ini, iaitu iman, pengharapan dan kasih, dan yang paling besar di antaranya ialah kasih" (1 Kor 13:13).

Buah Atau Kurnia Roh, Yang Mana Lebih Penting?

Beberapa tahun kemudian saya telah mendengar soalan yang seperti itu semasa mengikuti sebuah kelompok sel di Tawau.

Soalan yang dibangkitkan dalam perbincangan itu adalah: Yang manakah lebih penting Buah Roh Kuduskah atau Kurnia-Kurnia Roh Kudus?"



Galatia 5:22-23 memberikan kita 9 Buah Roh iaitu kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelemahlembutan dan penguasaan diri.

Manakala 1 Korintus 12:8-10 memberikan kita 9 Kurnia Roh iaitu kata hikmat, kata pengetahuan, kurnia iman, kesembuhan, mukjizat, bernubuat, membezakan roh, bahasa roh dan mentafsirkan bahasa roh.

Ahli-ahli kelompok sel berbincang dan akhirnnya ketua kelompok sel membuat kesimpulan - yang paling penting ialah Buah Roh Kudus. Saya bersetuju dengan kesimpulan itu. 

Saya telah diajar dari awal bahawa buah Roh lebih utama sebabnya ianya berkenaan dengan karakter kita, yang dibentuk oleh Roh. Manakala kurnia Roh adalah lebih mengenai karisma (pemberian) dari Roh Kudus dan tidak bergantung pada karakter atau kematangan rohani kita. 

Jadi karakter lebih utama dari karisma.

Soal Roti dan Cinta Timbul Lagi...

Namun begitu, tiba-tiba saya teringat soal akan Roti atau Cinta dan membangkitkannya dalam kelompok sel itu.

Saya menceritakan mengenai soalan yang pernah ditimbulkan oleh kawan bujang saya dulu. Dan saya menambah, "Dalam soal Roti dan Cinta, bila kita lakukan perbandingan seperti itu, pasti saja kita akan katakan bahawa cinta adalah lebih utama. Namun begitu, wang juga amat penting dalam kehidupan kita.


"Begitu juga halnya dengan soal Buah dan Kurnia Roh, apabila kita membandingkannya, kita pasti saja akan katakan bahawa buah Roh adalah lebih utama. Namun begitu, kurnia Roh juga amat penting dalam kehidupan kita."

"Buah Roh paling utama
tetapi Kurnia Roh juga amat 
penting dalam kehidupan."

Kadang-kadang kita mengutamakan buah Roh tetapi melupakan kurnia-kurnia Roh dalam hidup kita.  Paulus tidak begitu, dia mengatakan, "Kejarlah kasih itu dan usahakanlah dirimu memperoleh kurnia-kurnia Roh..." (1 Kor 14:1).

Cinta paling utama, tapi kita masih perlukan wang dalam kehidupan. Buah Roh paling utama tapi kita masih perlukan Kurnia Roh dalam kehidupan kita.

Itulah yang saya sebutkan pada malam itu di kelompok sel. Kami mengakhiri perbincangan dan mengucap syukur untuk makanan yang telah disediakan oleh tuan rumah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan