Isnin, 11 Julai 2022

Tahukah Anda... 2 Kategori Bahasa Roh?


Ramai orang Kristian salah faham mengenai bahasa roh. Ini biasanya disebabkan mereka tidak menyedari ada 2 kategori bahasa roh.

Inilah 2 kategorinya:

1) Bahasa roh untuk Pelayanan Awam

2) Bahasa roh untuk Kegunaan Peribadi

Marilah kita sama-sama meneliti 2 kategori bahasa roh ini dalam Firman Tuhan.

Bahasa Roh untuk Pelayanan Awam

1) Bahasa Roh untuk Pelayanan Awam

Bahasa Roh untuk pelayanan awam itu pula terdiri dari 2 jenis iaitu 

a) Bahasa roh sebagai Tanda (1 Kor 14:22)

b) Bahasa roh sebagai Mesej dari Tuhan (1 Kor 14:26-27)

Kedua-dua jenis bahasa roh ini adalah dalam kategori bahasa roh untuk pelayanan awam, ertinya untuk digunakan melayani orang-orang lain atau sekelompok orang.

Dalam KPR 2, selepas Roh Kudus turun ke atas murid-murid Yesus pada hari Pentakosta, mereka telah mulai berbahasa roh. Pada waktu itu terdapat orang-orang Yahudi yang berkumpul di Yerusalem yang telah datang dari berlainan tempat dan negara. Apabila murid-murid Yesus berbahasa roh, orang-orang Yahudi itu takjub kerana murid-murid Yesus telah mengagungkan Tuhan dalam bahasa-bahasa lain yang tidak diketahui oleh murid-murid itu tetapi difahami oleh mereka.

Itu adalah Tanda kepada orang-orang Yahudi itu. Mereka takjub tetapi mereka tidak memahami apakah maknanya itu. Lalu Petrus bangkit untuk menyampaikan Injil Yesus kepada mereka. Pada hari itu, tiga ribu orang memberikan diri untuk dibaptis selepas mendengar Injil. 

Jenis kedua bahasa roh untuk pelayanan awam adalah Mesej dari Tuhan. Paulus mengatakan dalam 1 Korintus 14:

Jadi bagaimana sekarang, saudara-saudara? Bilamana kamu berkumpul, hendaklah tiap-tiap orang mempersembahkan sesuatu: yang seorang mazmur, yang lain pengajaran, atau penyataan Allah, atau karunia bahasa roh, atau karunia untuk menafsirkan bahasa roh, tetapi semuanya itu harus dipergunakan untuk membangun. Jika ada yang berkata-kata dengan bahasa roh, biarlah dua atau sebanyak-banyaknya tiga orang, seorang demi seorang, dan harus ada seorang lain untuk menafsirkannya (1 Kor 14:26-27)


Dari ayat ini, kita tahu bahawa Paulus sedang mengatakan mengenai kurnia bahasa roh yang digunakan ketika mereka berkumpul bersama. Perhatikan juga kurnia bahasa roh juga diiringi kurnia menafsirkan bahasa roh. Ini adalah kerana kurnia bahasa roh untuk pelayanan awam adalah Mesej Tuhan untuk jemaat. Apabila seseorang mengucapkan bahasa roh ini, seseorang yang lain perlu memberikan tafsiran kepada bahasa roh itu supaya mesej Tuhan dapat disampaikan kepada orang-orang percaya yang berkumpul.

Sewaktu saya remaja, saya pernah mengikuti kebaktian di sebuah gereja di mana jemaatnya berbahasa roh semasa ibadah. Saya dapat mendengar jemaatnya masing-masing berbahasa roh dengan suara yang kedengaran, Walaupun ramai yang berbahasa roh dalam suara kedengaran, namun keadaan tetap tenang dan teratur. Tiba-tiba semua suara-suara yang berdoa itu berhenti secara serentak. Keadaan sunyi seketika, dan tiba-tiba seorang menyampaikan bahasa roh dengan suara yang lantang dan berautoriti. Kami tahu itu adalah kurnia bahasa roh yang merupakan mesej dari Tuhan. Ianya berbunyi lebih lantang dan berautoriti berbanding bahasa roh yang didoakan oleh jemaat sebelumnya. Semua orang masih senyap sebab menantikan seseorang untuk menyampaikan tafsiran. Dalam beberapa detik, satu suara lagi menyampaikan tafsiran untuk bahasa roh itu dalam bahasa yang difahami jemaat, yang merupakan mesej yang memberi dorongan kepada jemaat. 

Kita sudah melihat dua jenis bahasa roh untuk pelayanan awam. Selanjutnya kita akan melihat bahasa roh untuk kegunaan peribadi.

Bahasa Roh untuk Kegunaan Peribadi

2) Bahasa Roh untuk Kegunaan Peribadi

Bahasa roh untuk kegunaan peribadi juga terdiri dari dua jenis iaitu:

a) Bahasa roh untuk Doa Peribadi (1 Kor 14:2)

b) Bahasa roh untuk Doa Syafaat (Roma 8:26-27)

Jenis pertama bahasa roh untuk kegunaan peribadi adalah untuk Doa Peribadi. Ini dapat dilihat daripada penulisan Paulus kepada orang-orang  Korintus.

Siapa yang berkata-kata dengan bahasa roh, tidak berkata-kata kepada manusia, tetapi kepada Allah. Sebab tidak ada seorangpun yang mengerti bahasanya; oleh Roh ia mengucapkan hal-hal yang rahasia (1 Kor 14:2)


Bahasa roh ini adalah untuk doa peribadi dan ianya tertuju kepada Allah dan bukan kepada manusia. Ianya berbeza dengan dua jenis bahasa roh untuk pelayanan awam yang kita telah pelajari sebelum ini, iaitu bahasa roh yang menjadi Tanda dan Mesej, sebab kedua-dua bahasa roh itu tertuju kepada manusia, dan bukan kepada Tuhan. 

Oleh kerana bahasa roh ini adalah untuk doa peribadi ianya tidak perlu difahami oleh manusia, dan tidak perlu ditafsirkan untuk pemahaman manusia sebab memangpun ianya bukan ditujukan kepada manusia, tetapi kepada Allah yang memahami segalanya. Malahan Paulus mengatakan bahawa "tidak ada seorangpun yang mengerti bahasanya, oleh Roh ia mengucapkan hal-hal yang rahsia." 

Satu lagi jenis bahasa roh untuk kegunaan peribadi adalah Doa Syafaat. Doa syafaat ini juga tertuju kepada Allah. Dalam Roma 8:26-27, Paulus menyatakan bahawa Roh Kudus menolong kita dalam kelemahan kita.

Demikian juga Roh membantu kita dalam kelemahan kita; sebab kita tidak tahu, bagaimana sebenarnya harus berdoa; tetapi Roh sendiri berdoa untuk kita kepada Allah dengan keluhan-keluhan yang tidak terucapkan. Dan Allah yang menyelidiki hati nurani, mengetahui maksud Roh itu, yaitu bahwa Ia, sesuai dengan kehendak Allah, berdoa untuk orang-orang kudus (Roma 8:26-27)
 
Pada suatu hari, bertahun yang lalu, ketika saya baru memasuki alam pekerjaan, saya sedang berdoa seorang diri di sebuah rumah sewa di Tawau. Saya mula berdoa dalam bahasa roh, dan setelah beberapa minit, saya merasa begitu terbeban di hati sambil saya berdoa dalam bahasa roh lebih lama dari biasa. Saya tahu bahawa saya sedang berdoa untuk seseorang atau sesuatu situasi melalui bahasa roh itu walaupun saya tidak tahu untuk siapa saya doakan. Pada minggu berikutnya, saya menelefon keluarga di kampung halaman, dan saya diberitahu oleh ibu saya bahawa ayah saya telah selamat menjalani suatu pembedahan. 

Ibu saya memberitahu bahawa mereka tidak memaklumkan saya lebih awal kerana tidak ingin saya khuatir akan ayah saya. Apa yang terjadi semasa pembedahan itu, yang sepatutnya pembedahan yang ringkas, telah menjadi merbahaya apabila pendarahan ayah saya tidak dapat diberhentikan. Namun setelah doktor dan pasukannya berusaha kuat sekian lama, akhirnya pendarahan ayah saya dapat dihentikan. Saya terus menanyakan ibu saya bilakah pembedahan ayah saya telah dijalankan, dan ibu saya memberitahu bahawa ianya telah dijalankan seminggu lepas, tepat pada hari saya didorong berdoa dalam bahasa roh. 

Kesimpulan

Terdapat 2 kategori bahasa roh iaitu yang pertamanya, untuk pelayanan awam, dan yang keduanya untuk kegunaan peribadi. Dalam kategori pelayanan awam terdapat dua jenis bahasa roh iaitu sebagai Tanda dan Mesej dari Tuhan. Kedua-dua jenis ini tertuju kepada manusia. 

Manakala dalam kategori bahasa roh untuk kegunaan peribadi, juga terdapat dua jenis iaitu Doa Peribadi dan Doa Syafaat. Kedua-dua jenis ini tertuju kepada Tuhan. 

Apabila Paulus mengatakan bahawa tidak semua orang memiliki kurnia bahasa roh (1 Kor 12:29-30), dia sedang merujuk kepada bahasa roh untuk pelayanan awam, yang berfungsi untuk membangun tubuh Kristus. Bahasa roh bersama kurnia-kurnia lain Roh Kudus yang disenaraikan dalam 1 Korintus 12 itu adalah semuanya untuk pelayanan awam. 

Bagaimanakah pula dengan bahasa roh untuk kegunaan peribadi? Saya percaya semua orang Kristian yang telah mengalami baptisan Roh Kudus atau kepenuhan Roh Kudus akan dapat menerima kurnia bahasa roh untuk kegunaan peribadi ini, supaya mereka boleh dikuatkan menerusi bahasa doa peribadi ini, dan berdoa syafaat dalam bahasa itu. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan