Ahad, 31 Mei 2020

Apakah Bezanya Antara Golongan Pentakosta dan Karismatik?


Pendahuluan

Perkataan karismatik berasal daripada perkataan Yunani charisma, iaitu perkataan Perjanjian Baru untuk karunia rohani. Charisma atau dalam bentuk jamaknya, charismata, adalah perkataan yang digunakan oleh Paulus dalam 1 Kor 1:1-12 ketika dia membincangkan kurnia-kurnia Roh Kudus, seperti bahasa roh, kurnia penyembuhan, mukjizat dan nubuatan. Atas sebab ini, mana-mana kumpulan, gereja atau gerakan yang menyambut dimensi dinamik Roh Kudus dan kurnia-kurnia-Nya melayakkan mereka digelar sebagai karismatik. Atas sebab yang sama, gereja abad pertama juga boleh dipanggil gereja karismatik.

Perbezaan Golongan Pentakosta dan Karismatik

Soalan ini sering ditanya: Apakah bezanya di antara golongan Pentakosta dan Karismatik modern? Mungkin perbezaan yang paling utama adalah berkaitan dengan sejarah asal-usul yang berbeza kedua-dua gerakan itu. Gerakan Pentakosta bermula pada 1901 di Sekolah Alkitab Bethel di Topeka, Kansas, di mana pencurahan Roh Kudus terjadi dan doktrin klasik Pentakosta itu mengenai berbahasa roh sebagai bukti alkitabiah baptisan Roh Kudus telah dirumus dan diaktifkan. 

Permulaan gerakan modern Karismatik pula biasanya dikaitkan dengan pengumuman tahun 1960 oleh Dennis Bennet, rektor Gereja Episcopal St. Mark di Van Nuys, California bahawa dia telah dibaptis dalam Roh Kudus dan berbahasa roh. 

Satu lagi perbezaan yang nyata adalah fakta bahawa gerakan Pentakosta telah ditolak oleh gereja-gereja yang sedia ada dan sejak waktu itu, lebih daripada 740 denominasi baru Pentakosta telah dibentuk dengan keahlian melebihi 65 juta orang. Berbeza dengan itu, gerakan Karismatik mendapat sejumlah penerimaaan yang baik di gereja-gereja tradisi di mana ianya biasa digelar sebagai suatu pembaharuan. Namun begitu, meskipun dengan penerimaan itu yang seringkalinya suam-suam kuku, ribuan denominasi baru Karismatik telah pun dibentuk sejak 1960an. Ombak Ketiga (The Third Wave), atau gerakan neo-Karismatik, juga telah menghasilkan ribuan denominasi baru, menunjukkan momentum dan kuasa yang kian bertambah dalam setiap ombak yang baru. 

Meskipun terdapat perbezaan dalam setiap "ombak" itu, ahli statistik, David Barrett memerhatikan bahawa suatu "kesatuan yang asasi" menguasai seluruh gerakan abad kedua puluh ini. Untuk sebab itu, dia telah mencipta frasa Pentakosta/Karismatik untuk merujuk kepada kerja Roh Kudus di sekeliling dunia. Dia melihat gerakan-gerakan Pentakosta, Karismatik dan Ombak Ketiga sebagai "satu gerakan tunggal yang sepadu yang telah menarik semua jenis individu dan komuniti yang pelbagai ragam dan yang kian bertambah."

Pertumbuhan Menakjubkan

Mengkagumkan sekali, baru seratus tahun yang lalu tidak ada satu pun jemaat Pentakosta/Karismatik, seperti yang kita fahami istilahnya hari ini, wujud. Kini kurang daripada seratus tahun kemudian, gereja-gereja dan denominasi-denominasi Pentakosta dan Karismatik telah tersebar ke seluruh peta keagamaan dan merupakan segmen gereja yang paling dinamik dan paling cepat bertumbuh dalam Kekristianan.

Pertumbuhan yang amat besar ini ini telah disoroti oleh Gallup Poll 1980 yang diterbitkan dalam Christianity Today. Bancian itu menunjukkan 19 peratus daripada jumlah populasi Amerika Syarikat, atau lebih kurang 50 juta orang memperakui diri sebagai Kristian Pentakosta atau Karismatik. Dalam satu bancian Newsweek 1998 yang lebih baru, 47 peratus daripada orang-orang Kristian yang disoal selidik berkata mereka telah "secara peribadi mengalami Roh Kudus." Di kalangan Protestan evangelikal, angka itu meningkat ke 75 peratus. Pertumbuhan yang amat besar ini adalah salah satu sebab utama ahli teologia Harvard yang terkenal, Harvey Cox rela mengatakan bahawa Pentakostalisme sedang "membentuk semula agama dalam abad ke dua puluh satu."

Pertumbuhan Pentakosta/Karismatik (1910-2010)


(Info Tambahan: 580 Juta Kristian Pentakosta/Karismatik Di Dunia - Menurut analisa Pew Forum 2011 daripada anggaran yang diperoleh daripada Center for the Study of Global Christianity (CSGC) di Gordon-Conwell Theological Seminary, terdapat lebih kurang 279 juta Kristian Pentakosta dan 305 juta Kristian Karismatik di dunia. Ini bermakna, menurut analisa ini, Kristian Pentakosta dan Karismatik secara gabungan merangkumi 580 juta orang, lebih kurang 27% daripada semua Kristian dan lebih dari 8% jumlah populasi dunia.)

[Diterjemahkan daripada buku, "2000 Years of Charismatic Christianity" (Florida: Charisma House, 2002, 15-17), yang ditulis oleh Eddie L. Hyatt]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan