Ahad, 15 Mac 2020

Apakah Baptisan Roh Kudus? - John Piper


Pastor John Piper menjawab soalan daripada seorang pendengar siaran podcast:

"Hello Pastor John, bolehkah anda jelaskan apakah yang dimaksudkan oleh Alkitab mengenai 'baptisan Roh Kudus' berkaitan dengan (1) pengalaman keselamatan kita yang mula-mula, dan kemudian (2) samada kita harus menjangkakan atau mencari baptisan Roh selepas itu dalam hidup Kristian?" 

Kerinduan untuk Mengalami Roh Kudus

Pentakostalisme biasanya didefinisikan sebagai suatu gerakan dalam Kekristianan yang memikirkan mengenai baptisan Roh Kudus sebagai pengalaman kedua, biasanya selepas keselamatan, ditandakan dengan berbahasa roh. Itu adalah sterotaip mengenai apakah maksud Pentakostalisme. Itu sebenarnya adalah satu tanggapan yang terlalu ringkas.

Saya baru habis membaca sebuah buku oleh Allan Heaton Anderson, 'To the Ends of the Earth: Pentecostalism and the Transformation of World Christianity.' Dia menunjukkan bahawa terdapat jauh lebih banyak pemahaman yang berbeza mengenai Roh Kudus dan pekerjaan-Nya di kalangan Pentakostalisme global daripada yang kita sangkakan. Apa yang sama di kalangan pelbagai cabang Pentakostalisme bukanlah satu pandangan tunggal mengenai baptisan Roh Kudus, tetapi adalah satu penekanan kuat terhadap aspek pengalaman kehadiran Roh dalam kehidupan orang percaya.

Saya percaya penekanan terhadap aspek pengalaman Roh ini adalah sebab khusus mengapa gerakan ini begitu dinamik dan berkesan secara global. Orang ramai di mana-mana melaparkan realiti secara pengalaman, dan bukan hanya fakta-fakta doktrin dan sejarah, yang diterima secara akaliah.

Itu adalah pandangan stereotaip mengenai dunia Kristian Barat. Kita ada satu senarai doktrin; kita ada satu senarai amalan. Kita percaya doktrin-doktrin itu, kita lakukan amalan-amalan itu, dan kita membuat kesimpulan bahawa kita dimiliki oleh Tuhan dan sesuatu yang  luarbiasa sedang terjadi, tetapi tiada sesiapa mengalami apa-apa. Itulah sebabnya Pentakostalisme sedang maju seperti yang sedang terjadi, sebab mereka betul dalam hal ini. Mereka betul dalam mengatakan bahawa memiliki Roh Kudus adalah memiliki realiti yang seseorang dapat alami.

Dua Penggunaan Yang Berbeza

Adalah penting untuk kita menjelaskan makna istilah alkitabiah seperti "baptisan dalam (atau dengan) Roh Kudus" sebab ianya adalah suatu istilah alkitabiah. Ianya sebahagian daripada pengalaman Kristian.

Apa yang saya akan sarankan adalah bahawa cara Paulus menggunakan frasa itu dalam 1 Korintus 12:13 dan cara Lukas menggunakan frasa itu (atau yang Yesus gunakan seperti dilaporkan Lukas) dalam Kisah Para Rasul 1:5 adalah tidak sama. Itu adalah secara asas pendirian saya, yang akan mengelakkan banyak kekeliruan jika orang ramai dapat menerima ini. Jadi anda boleh menyelidiki ini untuk diri anda sendiri.

Ini bermakna bahawa apabila kita menanya, "Apakah makna frasa 'baptisan dalam (atau dengan) Roh Kudus?" kita perlu menanya, "Adakah kita sedang mengatakan mengenai penggunaan Paulus atau penggunaan Lukas ketika dia memetik kata-kata Yesus?" Dua-dua itu tidak bercanggahan. Saya bukan berhujah bahawa terdapat apa-apa percanggahan. Yang saya katakan adalah mereka menggunakan kata-kata yang sama dengan cara-cara berbeza. Mereka gunakan frasa yang sama dengan cara yang berbeza. Biarlah satu jelaskan setiap satunya.

Menerima Roh Semasa Keselamatan

Dalam 1 Korintus 12:12-13, Paulus mengatakan:
Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga Kristus. Oleh satu Roh kita semua telah dibaptiskan ke dalam satu tubuh – baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang merdeka – dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama. (1 Kor 12:12-13, AVB)
Saya fikir boleh dikatakan semua orang bersetuju pemahaman Paulus di sini mengenai baptisan Roh adalah tindakan di mana Roh menyatukan kita kepada Yesus Kristus dan tubuhnya, iaitu gereja. Dengan perkataan lain, ini adalah keselamatan. Ianya mengenai menjadi Kristian. Inilah apa yang dimaksudkan menjadi Kristian: untuk digerakkan oleh Roh Kudus dengan sebegitu cara sehingga kita dibawa kepada iman dan disatukan dengan Yesus.

Diberi Kuasa Oleh Roh

Saya tidak fikir itulah caranya Yesus dan Lukas menggunakan frasa yang serupa dalam Kisah Para Rasul 1:4-5
Pada suatu hari ketika Yesus bersama mereka, Dia berpesan supaya mereka jangan meninggalkan Yerusalem. Kata-Nya, "Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku; kerana Yohanes telah membaptis orang dengan air, tetapi kamu akan dibaptiskan dengan Roh Kudus tidak berapa lama lagi.
Dia sedang memetik kata-kata Yohanes Pembaptis dari Lukas 3:16, di mana Yohanes mengatakan, "Aku ini membaptis kamu dengan air tetapi seorang yang lebih berkuasa daripadaku akan datang. Aku ini tidak layak walaupun untuk mengurai tali kasut-Nya. Dialah (Yesus) yang akan membaptis kamu dengan Roh Kudus dan api."

Saya tidak fikir bahawa Yesus bermaksud murid-murid-Nya akan diselamatkan dari tidak percaya kepada percaya dalam baptisan ini yang mereka seharusnya nantikan di Yerusalem. Saya fikir bahawa Lukas melihat rasul-rasul itu sebagai orang-orang percaya yang telah benar-benar lahir baru sebelum baptisan yang dijanjikan ini berlaku ke atas mereka.

Lukas mengakhiri Injilnya dengan mengisahkan mengenai para rasul sebelum pengalaman yang seharusnya mereka tunggu yang dipanggil baptisan Roh. Ianya menyatakan dalam Lukas 24:52-53, "Murid-murid-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. Mereka menumpukan masa di Bait Suci untuk memuji Allah." Itulah satu kumpulan orang yang menyembah Yesus. Mereka memiliki sukacita besar. Mereka memuji Allah melalui Yesus di Bait Suci. Mereka bukanlah murid-murid yang belum diselamatkan yang sedang menanti dilahir baru dengan kedatangan Roh Kudus.

Meminta untuk Suatu Baptisan Baharu

Oleh itu, apakah yang dimaksudkan oleh Yesus dalam KPR 1:5 dan Lukas 3? Saya fikir apabila Dia mengatakan bahawa anda akan dibaptis dengan Roh Kudus, Dia bermaksud bahawa anda akan menerima kuasa luar biasa untuk pelayanan yang memuliakan Kristus. Itulah yang saya fikir Dia maksudkan. Anda akan menerima kuasa luar biasa untuk pelayanan yang memuliakan Kristus.

Pengalaman itu boleh datang dengan cara pengalaman yang luar biasa dan nyata selepas keselamatan - sehari, seminggu, setahun, atau seminit - diikuti dengan pencurahan-pencurahan, kepenuhan-kepenuhan atau baptisan-baptisan Roh dari masa ke masa sepanjang hidup. Atau pengalaman itu boleh datang pada saat dan ketika keselamatan diikuti dengan pengalaman-pengalaman kemudian yang seterusnya diberi kuasa oleh Roh Kudus sepanjang hidup. Ianya mungkin datang dengan pelbagai cara-cara, kepenuhan-kepenuhan dan berkat-berkat dalam suatu kehidupan dengan tidak terjangka dan dalam pelbagai ragam.

Saya fikir adalah satu kesilapan untuk menghadkan baptisan dalam, oleh atau dengan Roh Kudus kepada satu peristiwa kedua yang tunggal selepas keselamatan. Walaupun anda mungkin memiliki pengalaman seperti itu, itu tidak bermakna ianya adalah cara normatif untuk pemahaman baptisan ini. Saya fikir bahawa jenis kepenuhan dan pemberian kuasa yang kita terima dalam pengalaman-pengalaman seperti ini diperlukan berulang kali dalam kehidupan Kristian. Pengalaman-pengalaman itu tidak konsisten sama dalam setiap musim hidup Kristian.

Adalah betul, saya fikir, untuk meminta akan baptisan yang baharu. Itu adalah bahasa golongan Puritan. Itu adalah bahasa Martin Lloyd-Jones. Itu adalah bahasa saya lagi dan lagi sambil saya mendekati mimbar dan bersiap untuk berkhutbah. Saya akan katakan, "Oh Tuhan, aku perlukan baptisan baru. Aku memerlukan urapan baru. Aku memerlukan kepenuhan baru. Aku perlukan pencurahan baru Roh Kudus."

Dipenuhi dan Diberi Kuasa

Saya fikir bahawa bahasanya adalah pelbagai dalam Kisah Para Rasul untuk hal-hal seperti ini, yang tidak terus-menerus. Kita ada Paulus di Siprus, dan dia dalam persiapan untuk berucap. Ianya mengatakan bahawa dia dipenuhi oleh Roh Kudus, dan kemudian dia memiliki kuasa yang luar biasa ini untuk berhadapan dengan ahli sihir di pulau itu (KPR 13:8-12). Itulah jenis hal yang saya fikir Yesus sedang katakan : "Aku mahu kamu mempunyai pengalaman seperti ini sambil kamu keluar untuk menginjili dunia." Biarlah saya berikan 4 poin pendik sebab-sebab mengapa saya fikir Lukas dan Yesus menggunakan istilah itu dengan cara itu.

Pertama, Lukas menggambarkan baptisan Roh yang pertama itu sebagai dipenuhi. Dia menggunakan bahasa dipenuhi dalam KPR 2:4. Dia berkata, "Tunggulah baptisan ini" (KPR 1:4-5), dan kemudian apabila dia mengisahkannya dalam KPR 2:4, dia berkata, "mereka semuanya dipenuhi Roh Kudus." Baginya, kepenuhan dan baptisan adalah realiti yang bertindihan. Kemudiannya dalam seluruh Kisah Para Rasul, istilah "dipenuhi dengan Roh Kudus" adalah pengalaman yang berulang-ulang terjadi dalam kehidupan orang percaya, bukan hanya satu pengalaman sekali dalam sehidup.

Kedua, Lukas berkata bahawa dibaptis dengan Roh Kudus adalah memenuhi janji Yoel 2 ("Tunggulah janji itu"). Kemudian janji dari Yoel itu dipenuhi dan dijelaskan dalam KPR 2:16 dan seterusnya. Janji Yoel 2 bukanlah janji perjanjian baharu mengenai lahir baru. Ianya adalah janji mengenai kuasa profetik: kamu akan berbicara dengan kuasa yang luar biasa.

Ketiga, Lukas menggambarkan dibaptis dengan Roh Kudus sebagai menerima kuasa untuk menjadi saksi (KPR 1:8). Dia berkata, "Apabila kamu menerima Roh Kudus, kamu akan menerima kuasa supaya kamu boleh menjadi saksi-saksi-Ku ke hujung bumi." Itu adalah penjelasan serta-merta tentang apa yang akan terjadi jika anda menunggu untuk baptisan itu. Jadi, ianya adalah pemberian kuasa untuk pelayanan berkesan yang memuliakan Kristus secara global.

Akhirnya, keempat, Lukas berkata dibaptis dalam Roh Kudus adalah diperlengkapi dengan kuasa dari tempat tinggi supaya mesej Yesus dapat dibawa dengan berkesan ke seluruh dunia. Itulah bahasa Lukas 24:49, di mana dia memberitahu mereka, "Tunggulah di Yerusalem sehingga kamu diperlengkap dengan kuasa dari tempat tinggi."

Bagaimana dengan Bahasa Roh?

Pemahaman mengenai baptisan Roh Kudus adalah Paulus menggunakan satu bentuk frasa ini untuk merujuk kepada apa yang berlaku semasa lahir baru. Lukas menggunakan satu bentuk frasa ini, ketika memetik kata-kata Yesus, untuk pemberian kuasa oleh Roh Kudus.

Untuk menjawab soalan mengenai tanda-tanda ajaib, ianya mungkin termasuk atau tidak termasuk pelbagai tanda seperti bahasa roh atau manifestasi luar biasa yang lain. Saya fikir bahawa setiap orang Kristian harus mencari baptisan-baptisan baharu tersebut di dalam pemahaman ini berulang kali untuk pelayanan yang berkesan.

(Diterjemahkan daripada artikel Desiring God yang bertajuk, "What Is The Baptism Of The Holy Spirit?" oleh John Piper bertarikh 21 Jun 2019)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan